KOMPLEKS PERUMAHAN GURU PENGKALAN CHEPA 2014
Kompleks Perumahan Guru Pengkalan Chepa merupakan Pelaksanaan Projek Rumah Guru Secara Rundingan Terus "Design and Build" oleh Kementerian Pelajaran Malaysia terletak di Pengkalan Chepa, Kelantan. Projek ini dibina pada awal tahun 2000 sebanyak enam Blok Apartment Empat Hingga Lima Tingkat (Blok A, B, C, D, E dan F) yang mengandungi 100 unit Kediaman Guru, Fasa 2 di tanah seluas empat hektar milik kerajaan kepunyaan Maktab Perguruan Kota Bharu, Pengkalan Chepa, Kelantan. Pengurus Projek ialah IKRAM RUNDING SDN. BHD manakala Kontraktor Turnkey ialah NISA CONSOLIDATED SDN. BHD. Projek ini siap dibina pada akhir tahun 2000.
Kompleks Perumahan Guru Pengkalan Chepa terletak berhampiran dengan Institut Pendidikan Guru Kampus Kota Bharu atau dahulunya di kenali Maktab Perguruan Kota Bharu, bersebelahan dengan Sekolah Menengah Sains Tengku Mohd Faris Petra dan berdekatan dengan Sekolah Menengah Teknik Vokasional Pengkalan Chepa. Jarak perjalanan dari bandar Kota Bharu ke sini adalah 9 kilometer sahaja dan berhampiran dengan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa.
Aset Kerajaan Seperti Dalam Inventori
Setiap unit rumah mempunyai tiga bilik, satu bilik utama lengkap dengan bilik air, dua bilik tidur, ruang tamu, ruang dapur dan ruang tempat mesin basuh atau jemuran. Setiap bilik tidur di sediakan katil dan almari. Bagi bilik tidur utama telah disediakan satu katil "double" tanpa tilam, satu almari tiga pintu dan meja solek bercermin, bagi bilik tidur dua dan tiga disediakan satu katil "single" tanpa tilam dan almari dua pintu. Bagi ruang dapur pula disediakan kabinet atas dan bawah. Di ruang tamu pula disediakan dengan satu set kerusi tetamu berkusyen dan satu set meja makan. Stor juga disediakan bersebelahan bilik air kedua.
Sekiranya anda telah ditawarkan untuk menduduki kompleks ini, anda tidak perlu membawa banyak peralatan perabot kerana ruangnya begitu terhad. Aset kerajaan yang telah sedia ada di rumah kerajaan tidak boleh diubah mengikut sesuka hati kita. Cuma peralatan yang perlu bawa ialah katil bersama tilamnya, peti sejuk, mesin basuh, dapur dan tong gas, pinggan mangkok dan kerusi set jika anda tidak perlukan kurusi set yang disediakan kerana kesyen agak lama dan tidak sesuai lagi digunapakai.
Kemudahan Asas
Beberapa kemudahan lain seperti surau lengkap dengan kapet dan bilik serbaguna juga disediakan untuk kemudahan penghuni untuk menjalankan aktiviti-aktiviti dan sebagainya. Di ruang tengah pula disediakan taman permainan kanak-kanak. Tempat pembuangan sampah juga disediakan sebanyak dua unit rumah sampah terletak berhampiran blok F dan blok C.
Bagi menjaga keselamatan dan keselesaan warga penghuni, pasukan kawalan keselamatan juga telah disediakan hasil perbincangan jawatankuasa penghuni KPG dangan JPN untuk mewujudkan kawalan keselamatan kerana kebelakangan ini sering berlaku kecurian dan juga beberapa perkara yang mencurigakan. Hasil permohonan dengan Bahagian Perolehan Dan Pengurusan Aset bertarikh 12 Februari 2012 maka kita telah mendapat peruntukan pengawal keselamatan di Kompleks Perumahan Guru bermula perkhidmatan pada bulan November 2013. Permohonan untuk mendapat peruntukan bagi pembersihan kawasan, jawatankuasa masih lagi terus berusaha sekiranya ada peruntukan.
Bagi memastikan anda adalah warga Kompleks Perumahan Guru, setiap kenderaan akan diwajibkan mempamerkan stiker yang telah disediakan oleh jawatankuasa dan bagi pelawat pula dikehendaki melaporkan diri di balai pengawal terlebih dahulu.
Jika Berhasrat Untuk Menduduki Kompleks Perumahan Guru
Pada tahun awal tahun 2001 Kementerian Pelajaran Malaysia telah memberi mandat kepada Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan untuk menguruskan kemasukan penghuni mengikut keperluan. Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan telah menubuhkan jawatankuasa rumah guru bagi menguruskan dan pengisian penghuni mengikut terma syarat yang dilaksanakan.
Bahagian Pentadbiran Am, Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan telah dipertanggungjawabkan untuk membuat tawaran pengisian Kompleks Perumahan Guru kepada semua warga pendidik sekolah di sekitar Kota Bharu termasuk warga Maktab Perguruan Kota Bharu, Sekolah Menengah Sains Tengku Mohd Faris Petra dan Sekolah Menengah Teknik Pengkalan Chepa. Tawaran pertama bagi pengisian ini telah dibuat pada bulan Ogos 2001 dan berjaya ditawarkan kemasukan bagi sesi pertama ialah sebanyak 62 unit rumah diisi pada bulan Oktober 2001. Pada peringkat awal kemasukan ini, pihak pengurusan di peringkat JPN membuat taklimat mengenai tatacara menduduki rumah kerajaan sebagaimana Perintah Am Bab "E" [P.A Bab E] terutama perkara di Bab E-11 iaitu menjaga kebersihan rumah kerajaan dan Bab E-18 iaitu membayar caj bil-bil yang berkenaan.
Sekiranya berminat untuk menduduki Kompleks Perumahan Guru Pengkalan Chepa, tuan/puan bolehlah mendapatkan borang permohonan di Unit Pentadbiran Am, Paras bawah, Jabatan Pelajaran Negeri Kelantan, 15000 Jalan Doktor, Kota Bharu, Kelantan. Bagi memudahkan anda ikutlah panduan ini:
a. dapatkan dulu borang permohonan dari JPN
b. isi dengan lengkap dan dapatkan pengesahan majikan / sekolah
c. hantar melalui majikan / sekolah (cover letter) ke JPN
d. tunggu jawapan dari JPN sambil membuat tinjauan dulu ke Kompleks Perumahan Guru
tengok keadaan dan bertanya rakan-rakan / AJK kompleks mana-mana rumah yang
agak elok sikit.
e. bila lulus permohonan, pastikan satu salinan surat kelulusan menduduki rumah kerajaan
diserahkan kepada unit gaji untuk membuat pemotongan ITP anda.
f. satu salinan lagi serahkan kepada Pengerusi / Bendahari Jawatankuasa Penghuni
Kompleks Perumahan Guru sebagai tanda anda telah melaporkan diri.
g. dapatkan borang maklumat penghuni dengan AJK kompleks dan lengkapkan dan
serahkan kepada Pengerusi / Bendahari
h. tentukan rumah hak anda dan sila bayar diposit letrik (TNB) dan diposit air (AKSB)
i. sila bersalaman dengan jiran sebelah rumah kita bagi mengeratkan hubungan baik
*** yang PENTING sekali sila rujuk Panduan Menduduki Kompleks Perumahan Guru
dan ARAHAN Ajk dari masa ke semasa
Jawatankuasa Penghuni Kompleks Perumahan Guru
Sirih Pinang mengucapkan ribuan terima kasih kepada barisan Ahli Jawatankuasa Kompleks Perumahan Guru Pengkalan Chepa lantikan 2012/2013 kerana banyak memberi sumbangan idea dan kenangan demi kebaikan semua warga penghuni kompleks. Walaupun anda tidak lagi menjadi ahli jawatankuasa tapi jasamu amat dikenang.
Pada 15 Januari 2014, Mesyuarat Agung Tahunan Warga Penghuni Kompleks Perumahan Guru telah bersidang bagi memilih Jawatankuasa baru untuk meneruskan perjuangan tanpa upahan demi kesejahteraan dan keharmonian semua penghuni yang berlangsung di Bilik Bestari 2, Bahagian Teknologi Maklumat (BTP) dulu di kenali Pusat Sumber Pendidikan Negeri Kelantan di Pengkalan Chepa.
Kita sedia maklum, memang ramai yang tidak minat untuk menyertai AJK, sebab itulah ramai yang tidak hadir untuk memberi sumbangan dalam majlis ini. Namun begitu usaha murni tetap jua dilaksanakan dengan pemilihan AJK baru bagi sesi 2014 hingga 2015.
Untuk seketika ini, Sirih Pinang belum lagi menerima senarai nama AJK sesi 2014/2015 yang baru dilantik baru-baru ini, sekiranya ada terus kita paparkan. Walau macamana pun kita ucapkan tahniah dan selamat manjalankan tugas yang diamanahkan walaupun perjuangan anda tidak diberi sebarang upah.
Sirih Pinang amat mengharapkan semoga semua penghuni dapat memberi kerjasama sepenuhnya kepada AJK kompleks dengan kesabaran. Hargailah jasa mereka untuk kebaikan kita di Kompleks Perumahan Guru. Kerjasama Penghuni amat diperlukan. Patuhilah peraturan untuk kebaikan kita bersama
Peraturan Bila Anda Sebagai Warga Kompleks Perumahan Guru
BAHAGIAN I : TANGGUNGJAWAB ANDA YANG
MENDIAMI RUMAH KERAJAAN
Pegawai-pegawai adalah dilarang membuat tambahan atau pindaan kepada mana-mana
bahagian dalam atau luar rumah tanpa kebenaran terlebih dahulu daripada Unit
Pembangunan dan Fizikal, Jabatan Pendidikan Negeri kelantan. Mereka juga akan
bertanggungjawab atas apa-apa kerosakan atau kekurangan kepada bangunan atau
perabut-perabut di dalamnya yang bukan disebabkan oleh penggunaan sepatutnya.
Pegawai-pegawai adalah dilarang daripada menyewakan mana-mana bahagian rumah
yang diperuntukkan kepadanya. Selain daripada keluarga pegawai dan orang-orang
gajinya, serta tetamu-tetamu sementara, tidak ada orang lain yang boleh
dibenarkan tinggal dalam rumah tersebut. Sesebuah rumah itu tidak boleh
digunakan selain daripada tempat kediaman pegawai itu sendiri.
Pegawai-pegawai adalah juga dilarang daripada memelihara binatang-binatang
ternakan, termasuk ayam,itik dan kuching, di mana-mana bahagian rumah,
dibawahnya atau dalam kawasannya.
Adalah menjadi tanggungjawab tiap-tiap pegawai yang mendiami rumah kerajaan
menjaga sebaik-baiknya kebersihan dalam rumah dan juga dalan kawasan rumahnya,
termasuk kerja-kerja memotong rumput dan membuang sampah sarap seperti tin-tin
kosong, botol dan lain-lain lagi.
Seseorang pegawai yang telah diberi pinjaman perumahan dan masih tinggal di
rumah kerajaan bila rumah yang dibinanya telah siap didirikan boleh dikenakan
sewa sebanyak 2 kali ganda sewa yang patut dibayarnya. Peraturan ini tidak akan
dikuatkuasakan bagi pegawai-pegawai yang mengikut syarat-syarat perkhidmatan
mereka berhak mendapat perumahan yang percuma atau dikehendaki diam
dirumah-rumah khas jabatan atau rumah-rumah yang telah dibina oleh mereka
dengan Pinjaman Perumahan itu terletak di luar kawasan ibu pejabat tempat
mereka bertugas.
PERATURAN
II : TANGGUNGJAWAB ANDA YANG MENDIAMI RUMAH KERAJAAN
PARA 33 : (i) Seseorang pegawai yang mendiami sesebuah rumah kerajaan mestilah
mengosongkan rumah tersebut di hari terakhir ia bekerja sebelum bersara
melainkan jika ia telah diberi kebenaran seperti dalam kes-kes di (ii) dan
(iii).
PARA 33 : (ii) Seseorang pegawai bercuti sebelum bersara boleh dibenarkan oleh
pegawai perumahan untuk menduduki terus rumah yang bukan rumah khas jabatan
atau jawatan semasa ia bercuti itu dan selama tidak melebihi 30 hari lagi
selepas akhir cutinya. Bagi tujuan perintah am ini, seseorang pegawai yang
tidak berkelayakan mengumpul cuti rehat sebelum bersara mengikut syarat-syarat
perkhidmatannya akan dibenarkan tinggal di rumah tersebut tidak melebihi 30
hari lagi selepas hari akhir ia bekerja.
PARA 33 : (iii) Seseorang pegawai yang mendiami Rumah Khas Jabatan atau jawatan
akan dikehendaki mengosongkan rumah tersebut di hari akhir ia bekerja tetapi
sekiranya tidak ada pegawai lain yang berhak mendapat rumah itu ataupun
penggantinya belum ada lagi, maka dengan persetujuan ketua jabatan yang
berkenaan, ia boleh dibenarkan tinggal di rumah itu selama tidak lebih daripada
30 hari lagi.
PERATURAN-PERATURAN TAMBAHAN
(a) Kenderaan
- Dilarang meletakkan
sebarang kenderaan di ruang pintu masuk bangunan; dan
- Dilarang membina tempat
letak kereta berbumbung atau bangsal seperti untuk meletakkan motosikal atau
basikal. Semua kenderaan hendaklah diletakkan dipetak-petak/tempat-tempat yang
ditetapkan supaya kelihatan kemas dan tidak menghalang laluan orang ramai
- Sila pamerkan stiker di
kenderaan (bagi tujuan keselamatan)
(b) Membasuh Lantai dan Menjemur Pakaian
- Mengering pakaian
hendaklah hanya di tempat-tempat yang dikhaskan/disediakan. Dilarang sama
sekali menjemur kain seperti ‘railings’ melalui tingkap dengan menggunakan kayu
dan juga di balkoni rumah. Menjemur kain di luar rumah adalah dilarang sama
sekali; dan
- Tidak dibenarkan membasuh lantai
rumah dengan cara menyiram air yang banyak (bagi penghuni yang baru masuk
kuarters).kerana boleh merosakkan peralatan letrik seperti lampu dan kipas bagi
penghuni di bawah rumah anda. Sekiranya rosak penghuni berkenaan hendaklah
membayar kos pembaikan.
(c) Kebersihan
- Menjaga kebersihan di paras
yang tuan/puan diami dan sekitarnya termasuk tangga adalah menjadi
tanggungjawab anda dan jiran-jiran yang lain.
- Tidak dibenarkan membuang
sampah di dalam bilik meter air, dalam bilik Letrik / Telekom dan di koridor
atau dalam tandas mengelak dari tersumbat,
- Sampah-sampah hendaklah
dibuang ke dalam tong-tong yang disediakan, bukan disekitar ‘rumah sampah’.
Sampah-sampah hendaklah dimasukkan kedalam bekas plastik untuk dibuang ke dalam
tong-tong sampah yang disediakan.
- Dilarang sekeras-kerasnya
membuang sampah atau sebarang objek yang keras dari tingkat atas ke bawah; dan
- Tidak dibenarkan meletak
barang-barang buangan seperti surat khabar lama, kotak-kotak karton atau
kertas-kertas yang lain di atas atau di bawah tangga yang boleh memburukkan
keadaan dan menghalang lalu lalang.
(d) Bunga berpasu :
- Tidak dibenarkan menanam
bunga berpasu kecuali ada pelapik dan dijaga dengan baik demi kebersihan di
sekitar kawasan bangunan
(e) Merosakkan Dinding Rumah
- Tidak dibenarkan
merosakkan atau mencacatkan dinding rumah rumah akibat dari paku memaku semasa
pemasangan frame gambar atau membuat tampalan objek yang melekat dan sukar ditanggalkan
(h) Memelihara Binatang
- Pemeliharaan anjing adalah
dilarang sama sekali; dan
- Memelihara
binatang-binatang seperti kucing, burung dan lain-lain hendaklah seberapa boleh
dielakan.
Bagi yang ingin memelihara
binatang seperti kucing misalnya, hendaklah dipastikan supaya binatang sentiasa
bersih dan tidak membuang najis di merata-rata tempat sama ada di dalam atau di
luar bangunan dan menjadi tanggungjawab anda sebagai penjaga alam